KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 37 tahun dikenakan denda RM2,000 oleh mahkamah selepas lelaki tersebut memuat naik komen yang mengandungi unsur lucah serta menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, pada bulan Januari lalu, pihak polis telah menahan lelaki tersebut di Bandar Kota Tinggi. Tuduhan ke atasnya telah dibuat di mahkamah dan dia mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Sepanjang tempoh bermula dari Disember 2015 hingga Januari 2016, dua tangkapan telah dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi terhadap individu yang memuat naik status berunsurkan penghinaan serta provokasi. Kedua-dua disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Superintendan Rahmat menasihatkan orang ramai terutamanya pengguna aktif laman sosial agar mengawal emosi dan tidak memuat naik status atau komen yang berunsur penghinaan terhadap mana-mana pihak termasuklah PDRM.
Tambahnya, kebebasan adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan lain-lain.
Sumber Gambar: Sinar Harian