JOHOR BAHRU: Sebuah lombong terbiar yang terletak bersebelahan Larkin Sentral menjadi tumpuan orang ramai semenjak beberapa hari lalu kerana lombong berkenaan dipenuhi pelbagai spesis ikan air tawar yang beratnya boleh mencecah sehingga 30 kilogram.

Kewujudan pelbagai ikan air tawar hanya disedari selepas lombong tersebut dikeringkan sebelum ditambak bagi menjalankan projek pembangunan. Penyelia tapak projek, Hamzah Hussin, 29, berkata, lebih 100 individu berkunjung ke lombong berkenaan sejak dua hari lalu untuk menangkap ikan.

Terdapat banyak ikan seperti Tilapia, Patin, Kaloi dan Toman terperangkap selepas kerja-kerja menambak tanah dijalankan. Orang ramai dan juga pekerja projek pembinaan tersebut sanggup terjun untuk menangkap ikan yang dianggap sebagai ‘durian runtuh’ itu.

Berita tentang lombong terbiar itu menjadi viral di laman sosial Facebook selepas gambar ikan bersaiz besar dimuatnaik sejak semalam. Majoriti orang ramai termasuk pekerja gembira dengan penemuan tersebut.

Difahamkan lombong berkenaan telah wujud sejak 1990-an namun bagi mengelakkan bahaya dan sebarang kejadian yang tidak diingini, pemilik tanah bertindak memasang pagar keselamatan dan papan tanda amaran.

Sementara itu, maklumat pada papan tanda projek mendapati kawasan lombong berkenaan akan dibangunkan Johor Land Berhad merangkumi rumah kedai tiga dan empat tingkat selain pencawang elektrik.