
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berbangsa Cina maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) setelah 26 hari koma. Voon Fook Leong, 30 dipercayai gagal melunaskan hutangnya dengan ceti haram dan dibelasah oleh sekumpulan ‘ah long’.
Menurut Voon Kio, 65, anak keduanya itu mengalami kecederaan parah akibat dibelasah di beberapa bahagian anggota badan. Mangsa dikatakan di pukul di sebuah tapak pembinaan Taman Laguna pada 8 Januari lalu.
Voon Fook Oon, 38, abang mangsa, telah dihubungi oleh ceti haram berkenaan yang mengugut akan memukul mangsa sekiranya hutang tersebut gagal diselesaikan. Jumlah yang dipinjam mangsa adalah sebanyak RM2,000 namun jumlah yang perlu dibayar termasuk bunga ialah RM15,000.
Bimbang akan ugutan yang mengancam keselamatan anaknya, Voon Kio sekeluarga berusaha mengumpul duit berkenaan dan membayar hutang tersebut pada hari yang sama namun anaknya tetap dipukul hingga mengakibatkan kematian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad mengesahkan kejadian tersebut benar berlaku. Seorang suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan namun suspek utama masih lagi dalam buruan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.