
CUBAAN ROMPAK KEDAI EMAS GUNA SERBUK CILI GAGAL
Petaling Jaya, 1 Feb – Dua perompak bersenjatakan tukul besi yang bertindak melemparkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas dalam satu cubaan merompak kedai itu, terpaksa berputih mata.
Cubaan merompak itu gagal apabila mereka bertindak melarikan diri selepas seorang daripada pekerja kedai itu menekan penggera keselamatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian 3.15 petang tadi, kedai emas di Jalan 9A/13 Sungai Way, dimasuki dua perompak terbabit.
“Suspek dipercayai seorang lelaki dan seorang wanita memakai topi keledar bertutup penuh meluru masuk kedai berkenaan, sebelum seorang daripadanya menabur serbuk cili ke dalam kedai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian, terdapat empat pelanggan serta empat pekerja di dalam kedai emas berkenaan.
“Suspek wanita mencampakkan serbuk cili ke arah rak pameran kaca yang menyasarkan pekerja kedai itu, namun tidak mengenai mereka kerana ada penghadang kaca manakala suspek lelaki cuba memecahkan kaca rak pameran barang kemas dengan tukul besi beberapa kali, namun gagal.
“Ketika itu, seorang pekerja kedai berkenaan bertindak menekan alat penggera keselamatan, sejurus penggera berbunyi, suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki motosikal,” katanya.
Beliau berkata tiada barang kemas yang berjaya dilarikan serta tiada pekerja atau pelanggan yang cedera dalam kejadian berkenaan.
“Buat masa ini, kami sedang menyiasat sama ada kes ini ada kaitan dengan satu kejadian rompak kedai emas di Seremban beberapa hari lalu yang menggunakan modus operandi lebih kurang sama,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak, katanya.
– BERNAMA
STATISTIK KEMALANGAN MENINGKAT, PDRM GUNA PENGUATKUASAAN SECARA TOTAL
Sungai Petani, 1 Feb – Statistik kemalangan serta kematian di jalan raya negeri ini sepanjang 2015 masih tidak menunjukkan wujudnya perubahan sikap pengguna seperti yang diharapkan, kata Ketua Polis Kedah, Dato’ Zamri Yahya.
Zamri berkata di sebalik kempen serta peringatan demi peringatan yang diberikan, jumlah kemalangan jalan raya meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu daripada 20,159 kes pada 2014 kepada 22,015 kes pada 2015.
“Statistik bagi Op Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina, turut menunjukkan peningkatan sebanyak 12.66 peratus iaitu daripada 829 kes pada 2014 kepada 934 kes untuk tempoh sama 2015.
“Begitu juga dengan kemalangan maut, yang mana terdapat peningkatan sebanyak 6.66 peratus iaitu daripada 15 kes pada Op Selamat 2014 kepada 16 kes pada 2015,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 8 sempena perayaan Tahun Baru Cina peringkat Kontinjen Kedah di Plaza Tol Sungai Petani Selatan, di sini hari ini.
Zamri berkata, Op Selamat itu yang bermula hari ini sehingga 16 Feb akan memperlihatkan sedikit kelainan menerusi pendekatan penguatkuasaan secara total, selain mendidik masyarakat.
“Pemantauan polis tidak hanya secara statik sebaliknya menggerakkan semua aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat pengawasan secara bergerak di lokasi strategik.
“Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan serta-merta terhadap pesalah trafik ketika pengawasan dijalankan,” katanya.
Zamri berkata antara faktor utama kemalangan termasuk terbabas, gagal
memotong, tidak cekap memandu, memecut sesuka hati di laluan tidak sesuai, membelok tanpa memberikan isyarat, kurang tumpuan ketika memandu, tidak sabar dan memandu melebihi had laju.
“Untuk Op Selamat kali ini, seramai 72 pegawai dan 838 anggota polis akan bertugas dan tumpuan pemantauan termasuk di 45 kawasan yang sering berlaku kemalangan di seluruh negeri termasuk enam di Lebuhraya Utara Selatan.
“Tumpuan penguatkuasaan adalah untuk kesalahan seperti memandu laju, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.
– BERNAMA
31 PATI DITAHAN DALAM OP CEGAH JENAYAH
Kota Kinabalu, 1 Feb – Polis menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op cegah Jenayah di sekitar pusat bandar ini.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata kesemua yang ditahan hasil daripada pemeriksaan terhadap 73 individu dalam operasi bermula 7 petang semalam sehingga 4 pagi ini, di beberapa lokasi termasuk rumah setinggan Kampung Sinulihan dan Cendrakasih.
“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun. Semasa operasi, polis turut menahan empat individu yang didapati positif ujian air kencing,” katanya dalam kenyataan di sini.
Chandra berkata semua tahanan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu untuk didokumentasi dan saringan air kencing.
Beliau berkata, tumpuan lokasi operasi ialah penempatan yang mempunyai sarang penagih dadah dan berpotensi terlibat dengan kegiatan jenayah.
Menurutnya, operasi itu diketuai tiga pegawai bersama 39 anggota termasuk pelbagai agensi antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
– BERNAMA