Penduduk yang menetap di Jalan Bakawali 27, Taman Johor Jaya, Johor Bahru berhadapan dengan masalah nyamuk aedes yang membiak di dalam longkang berhampiran rumah mereka berikutan longkang tersebut sumbat.
Menurut mereka, permasalahan ini berlaku kerana pekerja kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan bertindak membuang sisa lebihan batu ke dalam saluran air tersebut dengan tujuan ingin menjimatkan kos.
Serpihan batu yang dibuang mengakibatkan air di dalam longkang itu bertakung seterusnya mewujudkan tempat pembiakan untuk nyamuk aedes.
Menurut Ismail Mohd Asri, yang tinggal di kawasan itu, longkang yang tersumbat telah menyebabkan wabak denggi tersebar dalam kalangan sesetengah penduduk. Ruqyah Samsi berkata, tiga ahli keluarganya telah dijangkiti demam denggi.
“Kedua-dua anak saya yang berumur 28 dan 33 tahun dan cucu berusia 14 tahun saya dijangkiti demam denggi baru-baru ini,” katanya.
Seorang penduduk, Rosini Daud, yang telah menetap di kawasan kejiranan tersebut lebih daripada 30 tahun, berkata, penjaja kedai makan di sebelah longkang itu juga turut membuang sampah ke longkang dan turut menyumbang kepada masalah ini.
Sementara itu, Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBJB, Abdul Aziz Ithnin berkata beliau akan mengemukakan aduan penduduk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya