Kilang Kayu Terbakar, Tiga Balai Bomba Terlibat Padam Kebakaran @bombaJBPM

JOHOR BAHRU: Sebuah kilang kayu yang terletak di Jalan Kubur Cina, Taman Muhibbah, Ulu Tiram musnah dalam satu kebakaran yang berlaku petang semalam.

Kilang kayu yang berstruktur separuh kekal termasuk kontena dan zink itu disambar api keseluruhannya dalam kejadian yang berlaku sekitar 1.15 petang itu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 petang. Seramai tujuh anggota dengan satu jentera bergegas ke lokasi kebakaran.

Setibanya di lokasi, kebakaran sudah memusnahkan keseluruhan kilang dan struktur bangunan juga sudah tidak dapat dilihat. Operasi tersebut dibantu BBP Tebrau dan BBP Pasir Gudang membabitkan dua jentera serta 12 anggota sebelum kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian

Jumlah kerugian dan punca berlakunya kebakaran masih dalam siasatan.